MUKAH: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil Balingian yang melibatkan 133 pengundi berdaftar berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Mukah dengan proses penggundian bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang. Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar dan untuk pengundian awal hari ini, hanya satu saluran pusat mengundi dibuka manakala untuk pengundian biasa, 21 pusat mengundi akan dibuka untuk membolehkan 13,233 pengundi mengundi Sabtu ini. Calon Barisan Nasional Yussibnosh Balo, 48, bakal berdepan dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang, 55. Kerusi DUN Balingian kosong sejak 28 Feb lalu apabila penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan. Jawatan itu kemudiannya diisi Tan Sri Adenan Satem sekalu ketua menteri kelima. Pada pilihan raya negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas), dengan majoriti 5,154 undi.