suria

Keadaan Kedutaan Malaysia Di Beijing Terkawal

Suasana Kedutaan Malaysia di Beijing yang dikerumuni ahli keluarga penumpang MH370 yang melakukan demonstrasi pada Rabu.

BEIJING: Keadaan di Kedutaan Malaysia di Beijing terkawal dan tiada tanda-tanda ketenteraman awam dijadikan isu untuk mengeruhkan keadaan, kata Duta Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin.

Keadaan itu, katanya, jauh berbeza berbanding pada Selasa dengan keadaan agak tegang apabila lebih 200 anggota keluarga penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH370 berarak ke pintu kedutaan itu susulan pengumuman penerbangan itu berakhir di Lautan Hindi.

Pada 8 Mac lepas penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal termasuk 145 penumpang warga China hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Iskandar berkata urusan antara pegawai kedutaan dan orang awam berjalan seperti biasa dengan pergerakan para pegawai kedutaan dan anggota keluarga mereka juga tiada perubahan.

"Ini juga menunjukkan usaha yang telah, sedang dan akan terus dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam menenangkan keadaan menunjukkan hasil," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Khamis.

Ditanya tentang pasukan peringkat tertinggi dari Malaysia, Iskandar berkata satu persefahman telah dicapai antara kumpulan itu dan anggota keluarga penumpang MH370 di China.

Pasukan peringkat tertinggi itu yang diketuai Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Lt Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad memaklumkan perkembangan terkini setiap hari kepada keluarga warga China berhubung tragedi MH370 itu.

Pasukan itu turut mengandungi wakil dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar, Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines.

Iskandar berkata beliau akan berusaha sedaya upaya untuk menghadiri taklimat harian itu, ataupun, seorang pegawai dari Kedutaan Malaysia akan hadir bagi pihaknya.

Berhubung perhimpunan keluarga warga China di hadapan kedutaan itu pada Selasa, Iskandar berkata Kedutaan Malaysia telah memajukan tuntutan sanak saudara penumpang pesawat itu ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut tentang tuntutan itu.

"Sebaik sahaja pegawai kami terima memo daripada ahli-ahli keluarga, keadaan kembali tenang dan mereka bersurai selepas itu.

"Tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku, dan tidak ada apa-apa bentuk ancaman keselamatan terhadap pegawai yang berada di kedutaan itu," katanya.

Beijing, Malaysia, MH370, MAS

Artikel Berikut

Artikel Lain