PETALING JAYA:Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali akhirnya mengesahkan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu Mei ini. Menyerahkan borang pencalonan pada saat-saat akhir iaitu lima minit sebelum proses pencalonan ditutup, Mohamed Azmin mengakui mampu mempertahankan kedudukannya bagi penggal kedua. Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu turut mengesahkan menerima restu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal sebagai Timbalan Presiden PKR. "Saya sudah bincang panjang dengan teman-teman sejak beberapa hari lalu. "Hari ini saya juga sudah berbincang panjang dengan Datuk Seri Anwar sebelum kita buat keputusan akhir untuk saya kekalkan jawatan sekarang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di sini, Sabtu. Menerusi pemilihan kali ini, Mohamed Azmin bakal berhadapan saingan enam penjuru menentang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Setiausaha Agung PKR, Datu Saifuddin Nasution Ismail. Turut mencuba nasib ialah Datuk K. Rama Chandram dan Murali Subramaniam. Ditanya sama ada beliau mampu mempertahankan kedudukannya apabila ditentang dengan beberapa nama besar dalam parti, Mohamed Azmin berkata ahli PKR akan menentukan nasibnya berdasarkan sumbangannya selama ini. "Saya fikir saya mempunyai rekod perkhidmatan yang baik bukan sahaja dalam parti, malah sewaktu untuk membentuk parti ini sejak 15 tahun lalu. "Kami bina parti ini sejak 1998 dan sekarang Keadilan menjadi parti yang paling kuat dalam Pakatan Rakyat," katanya.