suria

MH370: MAS Bincang Dengan China Southern Airlines

Ahmad Jauhari Yahya
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) masih dalam proses perbincangan dengan rakan perkongsian kod, China Southern Airlines berhubung kes pesawat MH370, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya pada Jumaat.

"Masih di peringkat perbincangan," katanya dalam sidang akhbar harian mengenai misi mencari pesawat malang itu di sini.

Ahmad Jauhari menjawab soalan sama ada China Southern Airlines tampil untuk berkongsi tanggungjawab terhadap tragedi MH370.

Penerbangan MH370 turut dipasarkan sebagai Penerbangan 748 (CZ748) China Southern Airlines, dengan terdapat penumpang memegang tiket syarikat penerbangan China itu.

Kepada soalan sama ada syarikat Boeing menyediakan sebarang bentuk pembiayaan bagi misi mencari pesawat itu, Ahmad Jauhari berkata: "Setakat ini Boeing tidak menghulurkan sebarang bentuk pembiayaan tetapi syarikat itu memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat dan kami untuk mengetahui apa telah berlaku kepada MH370".

Ketika ditanya sama ada juruterbang dan pembantu juruterbang saling mengenali sebelum penerbangan itu, beliau berkata jadual kerja kedua-dua juruterbang ditentukan oleh sistem jadual kerja automatik yang diguna pakai oleh syarikat penerbangan.

"Kami cuba menjadualkan jadual kerja mereka sebaik mungkin. Mereka tidak semestinya saling mengenali. Kami mempunyai sejumlah besar juruterbang, mereka mungkin kenal antara satu sama lain dan kadangkala tidak. Terdapat ribuan juruterbang," katanya.

Berhubung ujian psikologi dijalankan terhadap semua juruterbang, Ahmad Jauhari berkata prosedur itu tidak hanya dilakukan MAS semasa pengambilan juruterbang baharu.

"Kadangkala kami melakukan ujian setiap tahun, dan enam bulan bergantung kepada pembaharuan pemeriksaan kesihatan mereka dan ia biasanya dijalankan oleh doktor syarikat penerbangan," katanya.

Sementara itu, berhubung pampasan untuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370, Ahmad Jauhari berkata MAS sudahpun berbincang dengan pelbagai pihak perundangan dan anggota keluarga berkenaan.

"Setakat ini apa yang pihak kami telah diminta lakukan, terutamanya oleh anggota keluarga, adalah mengenal pasti bukti secara afirmatif. Mereka mahu melihat bukti itu dari segi pesawat," katanya.

Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan juga telah meminta Pejabat Peguam Negara mengkaji semua implikasi dari segi undang-undang.

MAS, MH370, China Southern Airlines

Artikel Lain