Shamsul Iskandar memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Fahda Nur & Yusmadi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam permohonan itu, Shamsul Iskandar, yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan, mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah cacat, defektif dan tidak menepati kehendak-kehendak tempat larangan, selain ia adalah satu penyalahgunaan proses dan mempersenda keadilan.
Beliau mendakwa pertuduhan itu lebih cenderung bermotif politik, perbuatan pendakwaan terpilih, dilakukan dengan niat jahat dan menjejas kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata seksyen itu tidak digubal secara berperlembagaan dan bertentangan dengan Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menyekat hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman termasuk perhimpunan di dalam kawasan jarak 50 meter di tempat ibadah yang telah disenarai sebagai tempat larangan untuk berhimpun.
Sehubungan itu, Shamsul Iskandar memohon perintah mahkamah supaya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Pada 5 Ogos 2013, Shamsul Iskandar; Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 36; dan Naib Ketua, Mohd Nazree Mohd Yunus, 29; mengaku tidak bersalah menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu dalam perkarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya di sini antara 12 tengah hari dan pukul 1.15 tengah hari pada 22 Jun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.