Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin berkata, bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada wakil dari syarikat Boeing akan terlibat dalam taklimat itu.
"Keluarga dari Beijing mahukan taklimat dengan melibatkan pakar-pakar tertentu dan permintaan itu sebagai mendapatkan maklumat tambahan.
"Tidak pasti lagi ia melibatkan Boeing tetapi pakar-pakar lain sedang dibincangkan untuk taklimat dalam masa terdekat," katanya pada taklimat harian MH370 di sini, Isnin.
Katanya, beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan sebahagian keluarga penumpang MH370 warga China yang tiba di Kuala Lumpur pada Ahad.
"Ia adalah satu pertemuan yang paling sukar yang pernah saya hadiri.
"Kami berada dalam kedudukan yang sukar. Soalan-soalan yang ahli keluarga mahukan jawapannya adalah soalan-soalan yang kami sendiri tiada jawapannya," katanya.
Namun, Hishammuddin berkata Malaysia tidak akan berputus asa untuk meneruskan carian.
Mengulas lanjut mengenai taklimat yang bakal diadakan beliau berkata pakar-pakar akan memberi penerangan dari segi teknikal kepada ahli keluarga.
"Pakar-pakar mampu menerangkan tentang penyelidikan dan metodologi data kepada ahli keluarga.
"Taklimat akan membuka peluang kepada ahli keluarga untuk mendengar sendiri secara terus daripada pakar-pakar," katanya.
Hishammuddin berkata beliau memahami ahli keluarga penumpang dan anak kapal sedang melalui saat-saat yang sukar.
Tambahnya, beliau juga faham bahawa ahli-ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 mahukan bukti fizikal sebelum menerima kenyataan pesawat berakhir di selatan Lautan HIndi.