suria

Objek Dipungut Di Lautan Hindi Tiada Kaitan Dengan MH370

KUALA LUMPUR: Tiada ada satu pun serpihan dan objek yang ditemui dan diambil dari kawasan carian di selatan Lautan Hindi dapat dikaitkan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagaimanapun usaha carian tetap akan diteruskan dengan kawasan tersebut yang meliputi lautan seluas 254,000 km persegi.

"Mana-mana objek atau serpihan yang dikumpul, dijumpai dan dibawa kembali ke pangkalan tidak boleh dikaitkan dengan MH370.

"Tetapi operasi untuk mengesan secara visual dan satelit masih diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai kesimpulan terhadap operasi SAR MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-24 pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata lima objek yang diambil pada Sabtu juga tidak dapat membuktikan ia adalah dari pesawat MH370 yang hilang.

"Lima objek telah diambil oleh kapal HMAS Success dan Haixun, pada Sabtu, bagaimanapun ia tidak mempunyai kaitan dengan MH370," katanya.

Hishammuddin berkata pada Isnin kapal Haixun telah ditugaskan untuk mendapatkan objek yang dikesan oleh pesawat P3 Orion Australia.

Mengenai perkembangan terkini operasi SAR, Hishammuddin berkata Indonesia telah pun memberikan kebenaran menggunakan ruang udaranya untuk 94 penerbangan mencari dan menyelamat.

Tambahnya, beliau juga telah diberikan taklimat mengenai penubuhan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang berpangkalan di pangkalan tentera udara Pearce di Perth.

"JACC akan diketuai oleh bekas ketua pasukan pertahanan udara Australia Angus Houston," katanya.

JACC berfunsi sebagai penyelaras operasi yang melibatkan agensi-agensi kerajaan Australia dan pasukan carian antarabangsa.


MAS, MH370, Australia

Artikel Lain