CYBERJAYA: Paras air di empangan-empangan yang berada di tahap kritikal menjadi sebab utama mengapa Pelan Pengagihan Air Berjadual terpaksa diteruskan. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Datuk Ismail Kasim berkata, walaupun hujan telah turun baru-baru ini, catuan perlu diteruskan, malah terpaksa diperluaskan ke kawasan lain supaya keadaan tidak menjadi lebih serius. "Ramai yang mendesak supaya pengagihan air berjadual ini dihentikan lebih-lebih lagi ketika hujan telah mula turun. "Span bagaimanapun ingin menegaskan bahawa langkah ini adalah perlu dan terpaksa dijalankan kerana dalam keadaan sekarang paras empangan adalah rendah," katanya pada sidang media di sini, Selasa. Ismail berkata, penyusutan paras air di empangan-empangan seperti Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Sungai Semenyih, Sungai Langsat, Klang Gates, Tasik Subang dan Sungai Batu dilihat sebagai ktitikal dan luar biasa. "Kerajaan Selangor tidak mempunyai pilihan lain melainkan mengurangkan pelepasan dari Empangan Sungai Selangor. "Jika paras empangan tidak dikawal rapi dikhuatiri simpanan akan menjadi kosong dan impak terhadap bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan menjadi lebih serius lagi," katanya. Katanya, pada 31 Januari 2014 paras air di empangan Sungai Selangor adalah 205.85 meter di atas aras laut tetapi susut kepada 189.60 pada 31 Mac 2014. Menerusi pelan catuan peringkat keempat ini kerajaan Selangor memutuskan menambah pengurangan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500JLH menjadikan jumlah pengurangan sebanyak 1,000JLH. Pelan Pengagihan Air Berjadual Peringkat Keempat akan berkuatkuasa mukai 4 April ini yang melibatkan 6.7 juta pengguna di sembilan wilayah. Pelan Pengagihan Air Berjadual Peringkat Ketiga dilaksanakan pada 10 Mac lalu melibatkan anggaran 3.6 juta pengguna di enam wilayah.