Yip Chun Hoong, 29, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.
Tertuduh didakwa membunuh Choong Yong Kit, 21, di kedai Speed Chat Internet Cafe, Jalan Bunga Tanjung 10, Taman Muda, Pandan Indah, Ampang antara pukul 4 petang dan 5.30 petang pada 11 Mac 2012.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berhadapan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Zulyana kemudian menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes itu.
Di mahkamah sama, Yip dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan pusat siber dan kafe siber tanpa lesen.
Zulyana memerintahkan Yip menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, Isnin.
Yip didakwa menjalankan perniagaan pusat siber dan kafe siber tanpa lesen di premis No.57, Jalan Bunga Tanjung 18, Taman Seraya, Ampang di sini pada 1.30 pagi 10 Mac 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) 2008 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Purnima.