suria

Kerajaan Nafi Khabar Angin Harga RON95 Naik 30 Sen - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan.
PETALING JAYA: Kerajaan menafikan akan menurunkan subsidi harga petrol RON95 sebanyak 30 sen yang boleh menyebabkan harga bahan bakar itu meningkat kepada RM2.40 seliter mulai tengah malam Rabu. 

"Tiada pengurangan subsidi 30 sen RON95 dan minyak naik kononnya tengah malam ini," kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menerusi tulisan di akaun Twitter miliknya pada Rabu.

"Saya ingin nafi khabar angin itu. RON95 masih ada 73 sen subsidi," katanya yang menjelaskan bahawa harga minyak petrol RON95 masih kekal RM2.10.

Kenyataan Ahmad Maslan di Twitter yang menafikan khabar angin kononnya harga minyak petrol RON95 naik 30 sen mulai tengah malam Rabu.


Khabar angin mengenai kenaikan harga minyak itu mencetuskan kekecohan orang awam, terutama di kalangan pengguna Internet di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ini berikutan satu kenyataan yang tersebar kononnya diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersebar mengenai kenaikan petrol RON95 sebanyak 30 sen bermula tengah malam Rabu.

Ramai yang turut keliru mengenai kebenaran khabar angin itu yang dilihat sekadar bahan gurauan sempena Hari 'April Fool' pada 1 April (Selasa).

Kali terakhir Kerajaan menaikkan harga petrol RON95 adalah sebanyak 20 sen seliter pada 3 September tahun lalu.


Ahmad Maslan, RON95, Petrol

Artikel Lain