suria

MH370: Malaysia Telus Salur Maklumat

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah mencecah 24 hari kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kerajaan Malaysia terus menerus berusaha menyalurkan apa sahaja maklumat kepada anggota keluarga penumpang dan kru pesawat itu secara telus.

Kementerian Pengangkutan pada Selasa mengeluarkan transkrip penuh komunikasi antara pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dan Menara Kawalan Udara Kuala Lumpur kepada keluarga penumpang dan kru pesawat, dan esok pakar antarabangsa akan memberi taklimat kepada mereka.

Mej Jen Datuk Affendi Buang dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipetik sebagai berkata langkah itu bertujuan memberi penjelasan terperinci berhubung dengan soalan teknologi yang dibangkitkan anggota keluarga.

Taklimat itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan dijangka akan disiarkan secara langsung kepada keluarga penumpang warga China di Beijing melalui sidang video.

Sebelum ini dilaporkan anggota keluarga itu telah mendesak supaya mereka diberi taklimat olah pakar satelit dan pakar operasi mencari dan menyelamat (SAR) supaya mereka dapat membangkitkan soalan lanjut mengenai SAR pesawat MH370 itu.

Pakar-pakar teknikal dari Malaysia, China dan Australia akan menyertai taklimat itu, selain turut dihadiri Duta Besar China di Malaysia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan di sini.

Pertemuan tertutup itu akan diketuai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS dengan moderatornya wakil khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan kini berada di Hawaii bagi menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean pertama dan beberapa acara berkaitan.

Semasa di sana, beliau dijangka akan berkongsi dengan rakan sejawatannya dari Asean dan kerajaan Amerika berhubung perkembangan terbaharu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS)Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Sementara itu, pengedaran transkrip penuh komunikasi antara pesawat MH370 dan Menara Kawalan Udara Kuala Lumpur (ATCKL) diharapkan dapat memenuhi kehendak keluarga penumpang MH370.

Hishammuddin berkata transkrip itu pada mulanya merupakan sebahagian siasatan polis, dan pihak polis kini sedang berusaha mengesahkan kenyataan MAS yang menyatakan siasatan awal menunjukkan suara kata-kata terakhir perbualan radiotelefoni itu adalah suara pembantu juruterbang.

"Ujian forensik rakaman sebenar sedang berjalan," katanya.

Beliau juga berkata tiada petunjuk terdapat sebarang perkara yang tidak normal dalam transkrip itu.

Usaha kerajaan Malaysia dalam memastikan wujudnya ketelusannya dalam menjalankan SAR terhadap MH370, bagaikan tamparan kepada sesetengah media asing yang sebelum ini melaporkan Malaysia seolah-olah menyembunyikan maklumat penting dan enggan dikongsikan bersama umum.

Isu yang dibangkitkan sebelum ini adalah laporan media mengenai kata-kata akhir dari MH370 yang dilaporkan sebagai "Alright, goodnight" dan hari ini disahkan sebagai "Goodnight Malaysian three seven zero".

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengadakan lawatan kerja ke Perth, Australia selama dua hari bermula Rabu bagi meninjau operasi pelbagai negara dalam pencarian pesawat tersebut secara dekat.

Mengenai usaha pencarian hari ini, sepuluh pesawat dan sembilan kapal telah membantu pencarian pesawat malang itu dengan kawasan pencarian operasi pada hari ini menjangkau 120,000 km persegi, ke barat Perth.

Cuaca buruk di kawasan pencarian dengan jarak penglihatan yang terhad tidak menghalang operasi tersebut namun tiada sebarang petunjuk lagi ketika ini.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

MH370, MAS, KLIA

Artikel Sebelum

Azmin Tiada Restu Anwar?

Artikel Berikut

Artikel Lain