suria

MH370: Perjumpaan Dengan Waris Penumpang Warga China Berjalan Lancar - Azharuddin

Azharuddin Abdul Rahman.

BANGI: Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman menyifatkan perjumpaannya dengan 29 anggota keluarga penumpang warga China pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 hari ini sebagai sesuatu yang baik.

Azharuddin berkata, semasa perjumpaan tertutup tiga jam itu, beliau dan beberapa agensi berkaitan dapat menjawab persoalan yang dibangkitkan anggota keluarga terbabit.

"Ia berjalan dalam suasana yang baik dan kami menjawab semua soalan yang dibangkitkan dan anggota keluarga (nampaknya) berpuas hati setakat ini," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu yang berlangsung di Hotel Bangi-Putrajaya di sini, Rabu.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perjumpaan itu, Azharuddin berkata, beliau tidak dapat mendedahkan sebarang butiran tentang perjumpaan itu namun beliau akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perjumpaan itu petang Rabu.

Perjumpaan pada Rabu dihadiri wakil khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, duta besar China di Malaysia Huang Hui Kang, pasukan penyiasat termasuk wakil Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain