KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang meneliti cadangan penggunaan kad khas untuk membeli barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) khusus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah itu bagi memastikan hanya rakyat tempatan membeli di KR1M kerana KR1M memang dikhaskan untuk rakyat Malaysia. Beliau berkata, KR1M merupakan satu subsidi kerajaan untuk rakyat kerana harga barang yang dijual adalah sangat murah berbanding kedai lain. "Cadangan wujudkan kad khas untuk membeli di kedai KR1M adalah cadangan yang baik kerana ia tidak tersasar daripada tujuan utama kerajaan. "Namun buat masa sekarang, semua peringkat rakyat dibenarkan membeli barangan di KR1M," katanya kepada soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) di persidangan Dewan Rakyat, Khamis. Idris ingin tahu sama ada kementerian akan memperkenalkan satu kad khas yang akan digunakan semasa pembayaran barangan di KR1M. Bagaimanapun, Ahmad Bashah berkata rakyat tidak dibenarkan membeli barangan dari KR1M dalam jumlah yang besar supaya lebih banyak dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh KR1M. Sehingga 26 Mac ini, sebanyak 128 KR1M beroperasi di 114 kawasan di seluruh negara dan akan diwujudkan 60 lagi tahun ini, katanya