suria

Malaysia Dan Australia Ikrar Teruskan Pencarian MH370 Tanpa Garis Masa

Najib (kanan) dan Tony Abbott.

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia berikrar akan meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang sejak 8 Mac lepas, tanpa garis masa meskipun jangka hayat bateri kotak hitamnya kini kurang daripada 72 jam.

"Kami tidak akan berputus asa dan mengalah," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media bersama rakan sejawatan beliau di Australia, Tony Abbott, di Perth pada Khamis.

Sementara itu, Abbott berkata, meskipun ia merupakan misi mencari yang paling sukar pernah dilakukan, Australia komited meneruskan pencarian "walaupun ia mengambil masa yang lama". 

Berdepan dengan begitu sedikit bukti yang dikumpul daripada pakar berdasarkan data satelit, kedua-dua pemimpin turut menasihati anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 supaya bersabar sehingga pesawat itu dijumpai.

Najib mengadakan pertemuan dengan Abbott dalam rangka lawatan kerja dua hari beliau bagi meninjau lebih dekat misi mencari di bandar raya barat Australia itu, bagi pesawat MH370 yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi.

Najib juga berkata, teknologi dron bawah air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 sebaik pinger bateri pada kotak hitam kehabisan (dalam tempoh empat hari), dan bagi membolehkan pasukan SAR mengesan pesawat jenis Boeing 777-200ER itu.

Dron bawah air, atau sebuah kapal selam robotik, bergantung kepada denyutan sonar untuk pencarian di dasar laut dan ia pernah digunakan bagi mengesan pesawat Air France Penerbangan 447 yang terhempas di Atlantik pada 2009.

Sementara itu, operasi mencari yang masuk hari ke-27 pada Khamis, meliputi kawasan seluas 223,000 kilometer persegi kira-kira 1,680 kilometer di barat daya Perth, Australia dengan dibantu lapan pesawat dan sembilan kapal.

Dalam pada itu, operasi pusat media mengenai kehilangan pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan dihentikan mulai Selasa depan.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, semua kenyataan akhbar (jika ada) mulai 8 April, akan dihantar melalui e-mel yang diberi kepada pusat media itu.

Sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sidang akhbar, jemputan akan akan dihantar kepada media melalui notis sewajarnya.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth. 

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Artikel Lain