Perdana Menteri diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut menyertai delegasi Najib ialah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Tan Sri Rodzali Daud.
Ketibaan beliau disambut oleh Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad dan para pegawai Malaysia.
Mereka akan membincangkan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pelaburan, perdagangan, pertahanan, pendidikan serta isu serantau.
Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang akhbar bersama selepas pertemuan itu, kata Zainal Abidin.
Najib dan delegasinya akan berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi tiga hari pada petang Khamis.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Operasi membabitkan pelbagai negara itu dikerah mencari MH370 bermula di Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum dilakukan di koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan yang meliputi dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.
Analisis terbaharu data satelit syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) mengesan kedudukan terakhir MH370 di tengah-tengah Lautan Hindi.
Pada 24 Mac lepas, Najib mengumumkan bahawa pesawat Boeing 777-200ER itu "berakhir di selatan Lautan Hindi".