suria

Pelatih PLKN Akan Dilatih Uruskan Media Sosial

Abdul Hadi (belakang, tengah) beramah mesra bersama bakal pelatih semasa Majlis Pelancaran Pergerakan Pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 11 Tahun 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kota Baru, Kelantan pada Sabtu. - fotoBERNAMA
KOTA BARU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melakukan penambahbaikan terhadap sub modul Klik Bijak@PLKN dengan memberi latihan khas mengenai pengurusan media sosial kepada pelatih.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata penambahbaikan tersebut diwujudkan berikutan penyebaran maklumat yang tidak sahih berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak 8 Mac lepas.

"Sebelum ini, modul ini hanya tekankan etika yang perlu dipatuhi semasa mendapat maklumat di media sosial tetapi kali ini pelatih akan diajar cara untuk mendapatkan kesahihan mengenai maklumat yang diperoleh.

"Selain itu, kita akan kumpulkan maklumat berkaitan isu semasa serta isu mengenai pesawat MH370 untuk dimasukkan dalam modul Klik Bijak@PLKN supaya pelatih dapat melihat secara jelas tentang kesahihan sesuatu maklumat sama ada ia sahih atau palsu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pergerakan Pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2 Siri 11/2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di sini, Sabtu.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Sub modul baharu Klik Bijak@PLKN telah dilaksanakan di kesemua 80 kem PLKN di seluruh negara mulai Januari lepas.

Sementara itu, seorang pelatih yang bakal menyertai PLKN kumpulan 2 Siri 11/2014,  Siti Nor Azimah Ibrahim, 18, dari Melor di sini yang akan ditempatkan di Kem Rimba Taqwa, Sik, Kedah berkata beliau agak sedih kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga sebelum ini.

"Inilah kali pertama saya akan meninggalkan keluarga untuk jangka masa panjang tetapi saya harap akan dapat pengalaman berharga ketika di sana," katanya.

Seorang lagi pelatih, R.K. Sreenathan, 18, dari Kota Baharu yang turut ditempatkan di kem sama berkata beliau gembira dan bangga mendapat panggilan untuk ke program tersebut kerana sering bergiat dengan aktiviti luar semasa di sekolah.

Sebanyak 47,633 pelatih akan melaporkan diri di kem-kem PLKN di seluruh negara bagi Kumpulan 2 yang bermula 5 April hingga 27 Jun 2014.

Artikel Lain