PERTH: Pesawat C-130 Hercules ketiga milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce pada Ahad untuk membantu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang. Pesawat tambahan itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk mempertingkatkan pencarian pesawat MH370 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rancangan untuk menghantar lebih banyak aset ketenteraan semasa lawatan dua hari beliau ke Australia pada Khamis lepas. Pegawai Pemerintah Skuadron Ke-20 TUDM Mejar Muhammad Jafri Suboh berkata pesawat C-130 itu tiba pada 12.30 tengah hari bersama-sama 33 pegawai dan anggota tentera. "Kami sudahpun mempunyai dua pesawat C-130 yang menyertai operasi pencarian sejak 29 Mac lepas dan pesawat tambahan itu akan melengkapi pasukan kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pangkalan udara Pearce pada Ahad. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang dari radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Usaha pencarian yang disertai pelbagai negara dilancarkan untuk menjejaki MH370 yang bermula di Laut China Selatan sebelum di koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan yang meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) UK merumuskan Penerbangan MH370 melintasi koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, di barat Perth. Pada 24 Mac lepas, setelah 17 hari pesawat Boeung 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Pencarian itu semakin kesuntukan masa berikutan hayat bateri kotak hitam pesawat itu dianggarkan mampu bertahan antara 30 dan 45 hari.