TIDAK ada kebenaran yang muktamad. Saya sering mendengar ungkapan ini di dalam Bahasa Inggerisnya, 'There is no absolute truth!' Ia digunakan di kalangan bebudak kampus, dalam mesyuarat dan perbincangan dan dalam perbualan antara kekawan. Dalam ertikata yang lain, ungkapan itu bermaksud tidak ada perkara yang betul-betul benar. Adakah ungkapan itu sendiri benar? Saya dibesarkan dengan mempercayai segala yang diucapkan oleh kedua-dua orang tua saya itu adalah benar. Tiada keraguan mengenai pendirian mereka. Dari usia yang muda, saya menerima segala pengajaran yang disebarkan kepada saya dari ibu-bapa, para guru dan warga kanan yang lain sebagai tepat dan betul. Tiada sebab untuk saya pertikaikan kebijaksanaan mereka yang terlebih dulu memakan garam daripada saya dan, sudah tentu, mempunyai nawaitu yang baik bila menegur saya ke atas apa-apa kesilapan dan kesalahan. Tatkala melangkah ke dunia dewasa dan mulai bercampur-gaul dengan orang yang asing daripada kaum kerabat dan kenalan semasa kecil dan remaja, barulah saya sedar pemikiran orang amat berbeza, mengelirukan dan, kekadang, berdusta. Lebih-lebih lagi, apabila saya mulai merantau ke negeri orang, barulah saya sedar apa yang mempengaruhi saya semasa saya membesar di Pulau Pinang tidak sama dengan apa yang saya lalui kemudian di Kuala Lumpur dan Johor Baru, misalnya. Malaysia merupakan sebuah negara yang punyai pelbagai budaya, adat resam dan fahaman agama. Tidak ada negara di dunia ini seperti kita yang berusaha menggabungkan begitu banyak kaum dan keturunan menjadi satu nusa dan bangsa. Maka, bila berbicara pasal kebenaran, sudah tentu setiap kaum mempunyai pegangan yang khusus dan berlainan dari kaum yang lain mengenai perkara itu. Kini, di zaman siber dan Internet, tiada perbatasan atau sempadan wilayah untuk menyekat atau menghadkan apa jua maklumat dan pengaruh yang sampai ke setiap pelusuk negara dengan sekelip mata. Di antara maklumat yang disebarkan, tentu ada yang mengarut walaupun mendapat banyak ‘like’. Bagi saya, mudah saja. Jika apa-apa kenyataan dibuat tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih atau yang tidak ada kena-mengena dengan isu pokok, mungkin tersirat sesuatu muslihat di sebaliknya. Acapkali juga, apa yang dicatat di laman blog atau Facebook adalah semata-mata pendirian dan pendapat persendirian penulisnya saja. Baru-baru ini, semasa saya dan beberapa kenalan bersembang-sembang mengenai isu-isu yang disiarkan di sesawang media sosial, soal kebenaran juga diketengahkan. Di awal perbualan, perbincangan berkisar kepada perkara-perkara ringan seperti keadaan cuaca, perbelanjaan harian, kesihatan, pendidikan, sukan dan hiburan. Perbincangan mulai panas apabila beralih kepada ulasan-ulasan mengenai pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang ghaib serta isu-isu politik semasa. Biasalah, pelbagai pendapat dan pandangan diberi bagi menunjukkan betapa mendalam pengertian dan pengetahuan masing-masing mengenai perkara yang dibangkitkan. Yang menghangatkan perbincangan ialah kesimpulan dari salah seorang rakan, dengan ungkapan yang selalu saya mendengar darinya: “There is no absolute truth!" Sejurus itu perbualan kami tertumpu kepada soalan: apa yang dikatakan benar? Sejak berkurun-kurun dulu, soalan ini dikaji dan disemak, dengan para saujana mengumpulkan dan mengkaji berjilid-jilid bahan bacaan, nota dan penulisan untuk mencari jawapannya. Ahli falsafah dari serata dunia turut memerah otak mengupas teka-teki ini. Ahli-ahli politik tidak rajin mencari penyelesaian; namun, mereka memiliki pengaruh yang luas dan berupaya membuat masyarakat umum mempercayai kata-kata dan janji-janji mereka itu adalah benar. Contohnya, walaupun orang politik menyatakan negara kita tiada teknologi canggih selain kuasa bomoh untuk mencari pesawat yang ghaib, ada yang mempercayai mereka dan menjadi pengikut yang setia. Pengamal-pengamal akhbar sentiasa berusaha mendapatkan berita yang sahih dan benar, namun, apa saja yang dilaporkan akan mendapat tentangan dan tuduhan kononnya segala yang disiarkan itu palsu. Maka, mencari jawapannya di dalam surat khabar pun tidak akan menepati harapan kerana pihak lain mempunyai helah untuk menafikan apa yang dilaporkan. Jadi, adakah kita, orang perseorangan, boleh terima bahawa segala yang kita ketahui dan pernah pelajari itu adalah benar? Adakah kebenaran, pengetahuan dan kepercayaan kesemuanya mempunyai maksud yang sama? Apa pun, saya beritahu teman saya, kenyataan “no absolute truth” beliau itu tidak dapat diterima. Dan beliau bertanya: “Kamu ada bukti apa utuk menolak tanggapan saya ini?” Saya menjawab: “Kenyataan itu tak masuk akal dan juga palsu. “Sememangnya, ada perkara yang betul-betul benar dan benar-benar betul. “Jawapannya sangat dekat, tapi kita kekadang tidak mengendahkannya.” Saya bertanya balik kepada teman-teman yang mendengar: “Adakah anda sudah melupai Al-Quran dan Hadith?” Tamat perbincangan.