"Kedua, Kementerian Pendidikan dalam pengurusan pembinaan kampus Sultan Azlan Shah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kami telah dimaklumkan bahawa pembinaan tersebut tidak mengikut spesifikasi dan sampai sekarang UPSI masih tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) walaupun sudah beroperasi sejak 2012," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Laporan Ketua Audit Negara Siri Pertama Tahun 2013 di Parlimen di sini, Isnin.
Nur Jazlan berkata, PAC turut mahu memanggil Kementerian Kesihatan mengenai perolehan aset, penyimpanan rekod aset, pengurusan program pembelian makanan dan proses pengurusan peralatan perubatan.
"Kita akan panggil Kementerian Dalam Negeri dalam pengurusan Rela dan pengurusan perolehan peralatan untuk Rela," katanya.
Selain itu katanya, Kementerian Kerja Raya turut akan dipanggil memberikan penjelasan berhubung Laporan Ketua Audit Negara Siri Satu 2013.
Antara isu melibatkan Kementerian Kerja Raya meliputi pembinaan Kompleks Mahkamah Kuantan yang baru, pengurusan pangkalan marin dan pembinaan Politeknik Banting di Selangor.