KUALA LUMPUR: Kira-kira 300,000 tan sampah, cukup untuk mengisi 110 kolam renang saiz Olimpik, dibuang ke dalam sungai setiap tahun dan aktiviti tidak bertanggungjawab ini menyumbang kepada krisis air di negara ini. Selain beg plastik sampah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mendapati pelbagai sisa buangan termasuk peti sejuk lama, tilam dan peralatan dapur dibuang ke dalam sungai. Menurut Pengarah bahagian pengurusan lembangan sungai dan pantai JPS, Datuk Lim Chow Hock, musim kemarau baru-baru ini mengurangkan paras air di sungai, sekali gus menjejaskan kualiti air. "Apabila paras air kurang, kualiti bertambah teruk. Pencemaran adalah satu faktor yang menyumbang kepada krisis air," katanya. Lim berkata, walaupun punca utama krisis air disebabkan musim kemarau panjang, sungai yang tercemar menyebabkan hanya sedikit air boleh dipam ke loji rawatan air. "Jika berlaku tumpahan minyak sebagai contoh, kos untuk merawat air di loji amat tinggi. Jika terdapat elemen toksik di dalam air, kos pengeluaran akan meningkat dan loji sedia ada tidak dapat mengendalikan masalah ini, menyebabkan bekalan air terjejas," katanya. Pencemaran sudah berlaku di lima sungai - Sungai Segget dan Sungai Ayer Merah di Johor, dan Sungai Jelutong, Sungai Juru serta Sungai Prai di Pulau Pinang – diklasifikasikan sebagai 'mati' kerana tidak dapat menampung sebarang bentuk kehidupan termasuk ikan dan tumbuh-tumbuhan akuatik. Namun, sungai paling kotor di negara ini, dari segi jumlah sampah yang ditemui, adalah Sungai Klang. Dianggarkan kira-kira 77,000 tan sampah dibuang ke dalam sungai itu setiap tahun. Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4 bilion untuk membersihkan Sungai Klang dan anak sungai dibawah projekSungai Nadi Kehidupan (RoL) selama 10 tahun yang mula dilaksanakan tahun lalu. Sasarannya termasuk pemasangan sebanyak 69 perangkap pencemar kasar (GPT) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan 359 GPT yang lain, log boom dan pencakar sampah oleh JPS. GPT adalah penapis yang memerangkap sampah sebelum memasuki laluan air. Enam kategori bahan cemar yang ditemui di dalam sungai adalah sampah dari kawasan perumahan dan setinggan, sisa pembinaan, keladak daripada pembersihan tanah, minyak dan gris dari restoran dan bahan buangan organik, kebanyakannya dari pasar basah dan sisa industri dari kilang dan bengkel.