suria

DCA Punya Kuasa Analisis Kotak Hitam MH370

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) selaku agensi yang mengawal selia industri penerbangan negara mempunyai kuasa untuk memeriksa kotak hitam pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang. 


Menegaskan demikian, Bekas Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

"Bagaimanapun mereka boleh melantik mana-mana pihak ketiga sama ada dari dalam atau luar negara untuk melakukannya. 
 "Hasil analisis data juga seharusnya diumum kepada orang ramai (bagi mengelak salah faham)," katanya kepada Bernama Isnin. 

Beliau menyatakan hal itu ekoran pengumuman Australia mengenai pengesanan isyarat yang konsisten dengan isyarat kotak hitam, dalam pencarian pesawat MAS itu. 

Pengumuman itu memberi harapan kepada penemuan pesawat berkenaan, namun yang menjadi tanda tanya ialah pihak mana berhak menyiasat kotak hitamnya. 

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Sabtu lepas berkata Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertanggungjawab' yang bebas untuk mengetuai pasukan penyiasat, sebagaimana menurut amalan standard dan perakuan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). 

Sehingga kini, Malaysia telah meminta Australia menjadi wakil rasmi kepada pasukan penyiasat ini dan turut menyenaraikan China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis sebagai wakil rasmi dalam pasukan itu bersama negara lain yang dirasakan perlu. 

Pagi Isnin, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata kapal Australia Ocean Shield mengesan isyarat berkenaan sebanyak dua kali pada malam Ahad. 
Menurut JACC yang berpangkalan di Perth, dua isyarat itu dikesan di 1,650 km barat laut Perth, iaitu di utara dalam kawasan pencarian. 

Isyarat pertama dikesan selama dua jam 20 minit manakala isyarat kedua selama 13 minit. 

Kotak Hitam atau 'Flight Data Recorder (FDR)' juga dikenali sebagai 'Accident Data Recorder (ADR), berperanan merakam setiap isyarat elektronik dan teknikal yang dibuat oleh juruterbang secara terperinci dari segi ketinggian, kelajuan dan penggunaan peralatan dalam sesebuah pesawat. 

Sebuah lagi alat merakam perjalanan penerbangan dikenali sebagai 'Cockpit Voice Recorder (CVR)' berfungsi merakam perbualan antara juruterbang dan pembantu serta komunikasi juruterbang dengan pengendali menara kawalan trafik udara. 

Kedua-dua peralatan ini merakamkan data penerbangan bermula pada waktu enjin pesawat dihidupkan sehingga pesawat mendarat. 

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama. 

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 24 Mac lepas, mengumumkan bahawa pesawat Boeing 777-200 itu "berakhir di selatan Lautan Hindi".
DCA, analisis, kotak hitam MH370

Artikel Lain