KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana kesalahan menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya tahun lepas. Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Me Khaine, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 17 Januari 2014. Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dengan memijak muka mangsa dan memukulnya menggunakan tangan, rotan dan penyangkut baju di Pasar Borong Baru Selayang, di sini, antara Oktober 2013 hingga 16 Januari 2014. Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.