PERTH: Usaha mengesan isyarat 'ping' dari kotak hitam pesawat Pernerbangan Malaysia (MAS) MH370 telah diperkecilkan di kawasan lebih spesifik di Selatan Lautan Hindi. Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston berkata, dengan mengecilkan kawasan pencarian itu, pihaknya berharap bangkai pesawat berkenaan akan ditemui dalam tempoh terdekat kerana kotak hitam tidak lagi dapat menghantar isyarat ping akibat kehabisan bateri. Menurutnya, kawasan carian di barat Australia yang menjadi tumpuan ketika ini ialah seluas 57,923 kilometer persegi,u kurang 20,000 kilometer persegi jika dibanding dengan kawasan carian pada Rabu. Bagaimanapun, kapal Ocean Ship milik Australia masih memberi tumpuan dikawasan isyarat ping dikesan sebelum ini yang terletak kira-kira 1,400 kilometer dari Perth. "Tiada serpihan pesawat yang ditemui setakat ini walaupun satelit berjaya merakam beratus serpihan di laut. "Daripada ratusan serpihan itu, hanya beberapa objek yang berjaya ditemui oleh pasukan carian dan sesuatu yang boleh dikatikan dengan MH370 masih belum diperolehi," katanya. Pada Rabu, isyarat ping yang dikeluarkan oleh kotak hitam didakwa semakin lemah dan kerja pencarian perlu digandakan sebelum baterinya kehabisan. Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Bejing hilang dari radar sejak 8 Mac lalu dan disahkan berakhir di Lautan Hindi.