PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggerakkan sebuah pesawat untuk operasi pencarian kira-kira pukul 8 pagi, 8 Mac lalu sebaik saja Penerbangan Malaysia (MAS) melaporkan pesawatnya hilang, kata sumber kepada CNN. Pesawat tersebut berlepas sebelum data sokongan pihak berkuasa menunjukkan pesawat tersebut terbang ke arah barat, kata seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia kepada CNN. Namun TUDM tidak memaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Awam atau operasi mencari dan menyelamat sehingga tiga hari kemudian pada 11 Mac lalu, seorang sumber terlibat dalam siasatan itu memberitahu CNN. CNN difahamkan bahawa juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah individu terakhir yang bercakap dengan pusat kawalan udara dengan berkata 'Selamat malam, Malaysia Tiga-Tujuh-Kosong. Sumber tersebut berkata tiada apa yang luar biasa mengenai suara tersebut yang tidak menunjukkan beliau berada dalam keadaan tertekan. Salah seorang sumber yang terlibat dalam siasatan itu memberitahu CNN bahawa polis mengambil keterangan lima lagi juruterbang MAS lain yang mengenali juruterbang dan pembantu juruterbang itu. "Tiada suara pihak ketiga kedengaran," menurut sumber.