Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata kesemua suspek berusia antara 19 dan 41 tahun itu ditahan ekoran penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dipercayai membawa kumpulan warga asing berkenaan melakukan jenayah dengan sebuah kereta sebelum itu.
"Polis merampas kereta Perodua Viva yang digunakan lelaki tempatan itu dan merampas dua komputer riba daripada seorang lelaki Vietnam dalam serbuan di tempat tinggal mereka," katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada Khamis.
Katanya, polis menerima aduan daripada seorang pengawal keselamatan sebuah kilang perabot di sini pada 4 April lepas mengadu kilangnya disamun sekumpulan lelaki, membabitkan kehilangan barangan bernilai RM56,000 dan wang tunai RM10,000.
Azman berkata pihaknya percaya dengan penahanan kumpulan pekerja warga asing itu dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun dan pecah kilang yang dilaporkan di daerah itu.
"Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui sama ada perbuatan jenayah pekerja asing itu ada kaitan dengan masalah pemberhentian kerja oleh kilang-kilang haram di sekitar daerah ini," kata beliau.
Kesemua warga Vietnam dan seorang warga tempatan itu kini ditahan reman sehingga 20 April depan untuk siasatan lanjut.