suria

Pemilihan PKR: Empat Kem 'Bertempur'

Johari (tengah) menunjukkan senarai calon yang bakal berentap dalam pemilihan PKR kali ini.

PETALING JAYA: Perebutan kerusi timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hujung bulan ini bakal menyaksikan pertembungan empat 'kem' di dalam parti itu selepas dua daripada enam calon yang membuat pendaftaran menarik diri.

Selepas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengumumkan menarik diri, seorang lagi calon bagi jawatan itu, S. Murali turut disahkan mengambil keputusan yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul berkata, semua calon yang menarik diri pada Khamis layak mendapat kembali wang deposit pencalonan masing-masing.

"Agak mengejutkan apabila tidak ramai yang menarik diri. Ini menunjukkan mereka cukup berminat untuk menyertai proses pemilihan kali ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Empat calon yang disahkan bertanding merebut kerusi timbalan presiden ialah penyandang jawatan, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk K. Ramachandram.

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden, hanya seorang calon yang menarik diri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Pengunduran Wong menyaksikan 15 nama berentap bagi merebut empat kerusi yang dipertandingkan.

"Manakala bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), hanya dua orang menarik diri daripada 78 calon yang layak bertanding," katanya.

Sementara itu Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata tiada mana-mana individu yang menarik diri bagi jawatan tertinggi sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan.

PKR, Bukit Lanjan, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain