suria

Gambar Suspek Tembak Anggota Polis Disiar

ACP Khairuldin Saat (kanan) ketika sidang media di Kuala Lumpur menunjukkan gambar suspek yang dirakam kamera litar tertutup berhampiran tempat kejadian berhubung kes tembak anggota polis di Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Jumaat lalu. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pihak polis mendedahkan gambar seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes menembak seorang anggota polis di Taman Lembah Maju, Pandan Indah pada Jumaat lalu yang dirakam menerusi sebuah kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saat berkata gambar itu diperoleh menerusi CCTV di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian.

Suspek kedua yang berumur lingkungan 30-an ini mempunyai tatu harimau pada badannya, katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Dalam kejadian Jumaat lalu, anggota berpangkat lans koperal tersebut ditembak di bahagian perut oleh seorang daripada dua suspek ketika anggota itu dan seorang konstabel cuba menahan suspek yang bermotosikal yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Suspek dikatakan melepaskan tembakan dari jarak dekat yang turut mengenai konstabel berkenaan.

Khairuldin berkata lans koperal yang berumur 26 tahun itu telah menjalani pembedahan dua hari lepas bagi mengeluarkan peluru dari perutnya dan dijangka dibenarkan keluar dari wad petang Isnin.

Beliau berkata pihak polis menemui 18 kesan cap jari pada motosikal, topi keledar dan beberapa barang peribadi milik suspek yang ditinggalkan selepas kejadian, tetapi tidak terdapat persamaan dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

Suspek dipercayai menggunakan pistol jenis .38 untuk melepaskan dua das tembakan berdasarkan kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenal pasti suspek agar menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, ASP Suhairon Abdullah di talian 019-9796999 dan ASP S.Ramasamy di talian 03-9274222.

Artikel Lain