SHAH ALAM: Keputusan mengenai pelan catuan air di Lembah Klang dijangka dibuat selewat-lewatnya minggu depan, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak yang terlibat termasuk syarikat konsesi air sama ada mahu meneruskan pelan itu atau menghentikannya. "Setakat ini air hanya naik satu peratus sahaja di empangan, namun kita ada beberapa cadangan untuk selesaikan perkara ini dan perkara berkaitannya akan saya umumkan selepas perbincangan itu," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini Selasa. Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri bersedia menghadapi mana-mana pihak yang mahu menyaman kerana tidak berpuas hati dengan masalah bekalan air yang dihadapi sekarang. "Keputusan (mencatu air) dibuat berasaskan jumlah air yang ada sekarang. "Malah ia dibuat di bawah satu jawatankuasa yang dianggotai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta pihak berkuasa tempatan dan kita bersedia menerangkan tentang perkara ini," katanya. Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan ada pihak yang ingin mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri kerana gagal menyediakan bekalan air berterusan untuk pengguna di negeri itu dan telah mengenakan catuan air sejak Mac lepas. Catuan peringkat pertama bermula 2 Mac lepas melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dan kini meliputi peringkat keempat melibatkan 6.7 juta pengguna.