DUNGUN: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Paka lemas setelah dihanyutkan ombak besar ketika mandi di pantai berhampiran Chalet Gelombang di sini pada Isnin. Dalam kejadian pada kira-kira 5.10 petang itu, mangsa, Mohd Solihin Zaki dan Khairul Ikhwan Roshim, bersama-sama tiga lagi rakan mereka dipercayai ke pantai berkenaan untuk mandi. Seorang rakan mangsa, Hasan Basri Zulkifli, 15, berkata Khairul yang menggunakan pelampung sedang mandi bersama-sama Mohd Solihin apabila secara tiba-tiba ombak besar menghanyutkan mereka. "Ketika ombak besar menarik mereka berdua, saya dan dua rakan lagi terus ke pesisir pantai untuk meminta bantuan daripada orang yang berada berdekatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Mayat Solihin ditemui pukul 6.30 petang manakala Khairul 15 minit kemudian kira-kira 20 meter dari lokasi mereka lemas hasil bantuan pasukan penyelamat dan bot nelayan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Ahmad Zailani Yaacob ketika ditemui mengesahkan menerima perkara itu dan berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.