KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) masih meneruskan pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat seperti diputuskan kerajaan negeri Selangor dan diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata sehingga kini, kesemua pelan itu dilaksana dengan lancar mengikut jadual. Beliau berkata Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 masih tidak beroperasi sejak ditutup semula pada Isnin apabila paras ammonia terus melepasi tahap yang dibenar Kementerian Kesihatan. "Syabas telah dimaklumkan oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat operator loji rawatan air tersebut, bahawa melalui pemantauan mereka kandungan ammonia di dalam Sungai Langat masih di tahap tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Pelan catuan air peringkat pertama membabitkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang manakala peringkat ketiga ialah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor. Kawasan yang terlibat bagi peringkat keempat pula ialah Gombak, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang. Sehubungan itu, SYABAS meminta pengguna berjimat cermat dalam penggunaan air selain tidak melakukan perkara terlarang seperti merosakkan sistem paip agihan untuk mendapat bekalan. Untuk maklumat berhubung senarai kawasan dan jadual catuan, sila layari laman sesawang www.syabas.com.my.