KUALA LUMPUR: Gara-gara menghendap seorang wanita di dalam tandas, seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa. Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Gunawan, 23, seorang pekerja kilang, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan diperintah menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh ditangkap pada 4 April lepas. Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara memanjat mangkuk tandas untuk menghendap wanita itu di bilik tandas bersebelahan melalui ruangan atas dinding di tandas wanita tingkat 3, bangunan Intermark Mall Management Office, Jalan Tun Razak, Wangsa Maju, di sini, pada 8 pagi, 4 April lepas. Mengikut fakta kes, mangsa secara jelas nampak muka seorang lelaki sedang mengintai dari bilik tandas sebelah dan memanggil tertuduh keluar dari bilik tandas itu. Apabila mangsa bertanya mengapa dia (tertuduh) memasuki tandas wanita itu, dia memberi alasan tandas lelaki di bangunan itu penuh menyebabkan mangsa menghubungi pihak pengurusan dan tertuduh ditahan. Mohamad Gunawan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Dia yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya mahkamah menjatuhi hukuman denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.