KUALA LUMPUR: Seorang pengendali kren maut apabila kren yang dipandunya jatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di tapak pembinaan di Ara Damansara, di sini pagi Selasa. Mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Johor, maut selepas terjatuh bersama kren yang patah kira-kira pukul 9 pagi. Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.01 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian. "Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Sementara itu, semasa ditemui di lokasi kejadian seorang pekerja warga Pakistan dikenali sebagai Ali, 34, berkata beliau berada di tingkat bawah tanah bangunan terbabit ketika kejadian berlaku dan hanya menyedari selepas mendengar jeritan orang ramai. "Saya dengar ramai orang jerit supaya lari dan keadaan menjadi kecoh sebelum melihat kren terbabit jatuh ke tanah," katanya yang baru tiga bulan bekerja di tapak pembinaan terbabit. Kes disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed dan siasatan lanjut sedang dijalankan.