suria

Najib Bidas Pembangkang Selesai Misteri MH370 Dalam Sesaat

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan amanat kepada warga kerja Kementerian Kewangan pada Perhimpunan Bulanan Khas Kementerian Kewangan di sini, Selasa. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang kononnya mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dalam satu saat.

Beliau menyifatkan dakwaan pemimpin tersebut sebagai tidak masuk akal dan memperbodohkan rakyat Malaysia.

Najib berkata kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke-39, hari ini memerlukan sokongan dari negara luar berikutan kerumitan dan cabarannya yang di luar dugaan.

"Ini memang tidak masuk akal sama sekali malah memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, Selasa.

Pada 5 April lepas, sebuah akhbar Cina menyiarkan sebuah artikel wawancara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majalah Southern Weekly bahawa jika dirinya Perdana Menteri, beliau hanya memerlukan satu saat untuk menyelesaikan isu kehilangan pesawat MH370.

Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Pada 24 Mac, Najib mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston, hari ini berkata sebanyak sembilan pesawat tentera, dua pesawat awam dan 11 kapal membantu dalam misi pencarian MH370.

Selain itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang untuk membuat pencarian di udara membabitkan 62,063 kilometer persegi dan lokasi sasaran berada pada 2,170 kilometer barat laut Perth.

Najib, MH370, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain