suria

Upacara Penyemadian Karpal Mungkin Sabtu Atau Ahad di P.Pinang - Gobind

Anak Karpal Singh, Gobind Sing Deo dan ahli keluarga yang hadir memberi penghormatan terakhir di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada Khamis. - Foto BERNAMA.
IPOH: Upacara penghormatan terakhir dan penyemadian mendiang Karpal Singh akan berlangsung di Pulau Pinang mungkin Sabtu atau Ahad, kata anaknya Gobind Singh Deo hari ini. 

Anggota Parlimen Puchong itu berkata keluarganya berhasrat mengadakan upacara itu sama ada pada Sabtu atau Ahad ini namun keputusan itu akan ditentukan petang ini memandangkan ada sanak saudaranya turut berada di luar negara.

Pada 10.15 malam semalam, mendiang Karpal Singh melawat anaknya itu yang sedang dirawat di Hospital Pantai, Bangsar sejak Isnin lepas dan menurut Gobind Singh, itu adalah pertemuan terakhir mereka.

Ketika itu mendiang memaklumkan ingin pulang ke Pulau Pinang atas urusan rasmi, kata beliau ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Mayat mendiang Karpal Singh dibawa ke hospital tersebut untuk bedah siasat. 

"Dia beritahu saya yang dia mahu pulang ke Pulau Pinang, saya tidak pasti mengenai apa, tapi ada urusan mahkamah...saya menasihatkan beliau supaya melakukan perjalanan pada sebelah pagi," katanya. 

Gobind Singh berkata selepas bedah siasat, mayat bapanya akan dibawa ke kediaman mereka di Jalan Utama, Kebun Bunga, Pulau Pinang.

Penasihat DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham; Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak Nolee Ashilin Mohd Radzi; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Saarani Mohamad turut berada di hospital.

Karpal Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 40-an, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar.

Menurut polis, kenderaan Toyota Alphard MPV yang dinaiki Karpal Singh dan empat orang lain dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek.

Artikel Lain