suria

Hospital Kajang Terima Enam Mesin Hemodialisis Baharu

S. Subramaniam.
PUTRAJAYA: Hospital Kajang menerima enam mesin hemodialisis baharu yang disumbang oleh pihak swasta dan individu, sekali gus dapat mempertingkatkan perkhidmatannya untuk pesakit buah pinggang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sumbangan itu diterima pada Khamis, menggantikan empat mesin sedia ada yang sudah usang dan sering mengalami kerosakan.

"Sumbangan yang diurus dan diselaras oleh Hai-O Foundation itu merupakan contoh jalinan kerjasama yang baik antara Kementerian Kesihatan Malaysia, syarikat korporat dan orang awam untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang disediakan dan dinikmati oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata tiga mesin berkenaan disumbangkan oleh Syarikat Matrix Concept Holding Berhad manakala tiga lagi diderma oleh tiga individu iaitu Datin Yong Chou Lian, Tan Suan Ching dan Ah Sam.

Hospital Kajang akan mengoptimumkan penggunaan mesin-mesin baharu ini sebagai menghargai sumbangan korporat dan individu budiman berkenaan, katanya yang turut menambah dengan adanya mesin baharu terbabit lebih ramai pesakit buah pinggang peringkat akhir dapat menerima rawatan hemodialisis di hospital itu.

Artikel Lain