BAYANGKAN, dengan wang yang melimpah pun tidak bermakna kita akan mendapat air, walaupun setitis. Ini bukan cerita rekaan. Baik pun di kawasan yang dihuni masyarakat marhaen atau pun golongan bangsawan, air kini menjadi komoditi utama yang paling dihargai oleh sebahagian besar rakyat Malaysia di Lembah Klang. Di Shah Alam, Ampang, Damansara , Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong; ada yang hidup mewah, ada yang hidup miskin. Air tak mengenali pangkat atau darjat. Ia juga tidak membezakan di antara tua dan muda, yang sihat dan yang sakit. Air. Ia masalah paling rumit kebelakangan ini di Lembah Klang dan mungkin sedikit masa lagi jika keadaan tidak berubah ia akan melanda serata ceruk tanahair dan sesiapa pun tidak dapat meneka selama mana keadaan ini akan berterusan. Syukur, negara kita tidak terbabit dengan bencana semulajadi seperti gempa bumi, namun kita pernah berdepan dengan tsunami dan banjir besar-besaran. Kini, kemarau bakal melanda. Di kalangan bijak pandai, perkara ini berlaku kerana apa yang dikatakan ‘climate change’ atau ‘global warming’, iaitu perubahan iklim atau pemanasan bumi. Bagi masyarakat murba, pandangan merek berbeza. Mereka merasakan perkara ini berlaku kerana kita tidak serik-serik membazirkan anugerah Illahi. Maka, alam yang sekian lama kita mendera dengan memperkosakan hutan rimba, bukit bukau dan air di permukaannya kini membalas dendam dan merajuk untuk terus berbakti kepada manusia. Allahwa’alam. Adalah dianggarkan hingga 97% dari bekalan air kepada rakyat Malaysia, datangnya dari sumber air permukaan. Empangan air, pusat penapisan dan rawatan kesemuanya bergantung kepada bekalan dari air permukaan untuk disalurkan kepada pengguna yang semakin ramai dan keperluan isirumah dan perindustrian yang semakin bertambah. Di negeri Selangor, kita baru saja dikhabarkan bahawa kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah berpakat untuk memperbaiki keadaan dengan menyelaraskan keempat-empat syarikat pengurusan air di negeri ini dan menyambung semula pembinaan pusat rawatan air Langat 2 bagi memudahkan penyaluran air mentah dari negeri Pahang. Namun, kita semua menyedari bahawa kebanyakan sungai di Malaysia tidak lagi mempunyai air yang bersih dan mencukupi, walaupun untuk keperluan asas seperti membasuh, meminum, memasak dan mencuci. Nak membina lebih banyak empangan dan loji? Fikir semula Bazir Air Kerana Murah? Kegiatan pembalakan, sama ada secara dibenarkan atau melalui aktiviti haram, dengan secara perlahan-lahan bukan saja telah mengurangkan sumber air tetapi juga mencemarkannya. Tanpa air, tiada kehidupan. Tanpa air, tiada tumbuhan dan makanan. Juga tiada apa-apa perusahaan untuk menghasilkan barangan yang menyokong kehidupan kita, seperti pakaian, kenderaan dan, ya, juga komputer. Pihak pemerintah sangat murah hati dengan memberi subsidi bagi tarif air, membuatkan rakyat Malaysia sewenang-wenangnya menggunakan air dengan banyak kerana ia dianggap murah. Sembang-sembang di sana-sini membawa berita pembaziran air bakal dijadikan suatu kesalahan yang boleh membawa kepada denda yang berat. Jika ini benar-benar berlaku baru padan muka kita. Tiada pilihan, kita mesti bertekad untuk melindungi dan mentadbir dengan bijak air yang masih ada di permukaan bumi, iaitu air yang mengalir di sungai, yang menakung di tasik dan danau dan mata air yang memancur. Sektor pertanian dikatakan menggunakan lebih daripada 60% air yang disalurkan kepada rakyat Malaysia, dengan lebih 20% kepada sektor perindustrian dan selebihnya untuk kegunaan isi rumah dan pejabat. Menurut pakar-pakar air, rakyat Malaysia menggunakan purata 300 liter air setiap orang setiap hari (litres per person per day, atau LPCD). Menurut mereka, kita mesti mengurangkan pengambilan air hingga 200 LPCD, jangan lebih. Kajian sumber air negara bagi tahun 2000 hingga 2050 menunjukkan keperluan di seluruh tanahair dijangka meningkat 63% dari 11 bilion meter isipadu pada tahun 2008 kepada 17.7 bilion pada tahun 2050. Gabungan Pakar Amat dikesali, ada teman-teman yang mengeluh, kononnya pihak berkuasa tidak membuat apa-apa pun bagi mengawal masalah yang sangat besar ini. Saya perhatikan, yang sering mengadu ialah mereka yang sendiri tidak mengamalkan penggunaan air dengan berhemah dan cermat; mencuci kereta dan menyiram pokok bunga dengan tidak menghiraukan sama ada esok masih ada air atau tidak. Menghentam pihak berkuasa tapi mendiamkan diri pasal menggunakan air berlebihan berupa suatu tindakan yang dayus. Kita tak mahu menyaksikan suatu keadaan di mana berlaku perebutan air, yang boleh membawa pula kepada konflik politik, krisis kesihatan dan kemerosotan ekonomi. Perang air pernah berlaku di perbatasan di antara wilayah, seperti di Thailand, Cina, India, Pakistan dan Iran. Ada baiknya jika beberapa kementerian bergabung tenaga dan kepakaran untuk menyelesaikan masalah air negara dan sekaligus mengelakkan sebarang kemungkinan buruk. Misalnya, kita boleh satukan kesemua pihak berkuasa air di bawah satu kementerian; iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Cara ini akan kurangkan salah-menyalah antara satu pihak dengan yang lain dan segala masalah pengurusan dan pentadbiran air dirujuk kepada satu pihak saja. Tapi, kita jangan menganggu air di dasar bumi kerana, pencariannya tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berterusan. Lebih baik dibiarkan ia tetap di bawah tanah untuk faedah generasi akan datang. Pakar-pakar pernah merujuk kepada kota-kota besar seperti Bangkok dan Mexico City, yang dikatakan semakin tenggelam kerana berlebihan air dipam dari dasar bumi. Jika Malaysia ingin menjadi tempat yang ideal untuk hidup, untuk bekerja dan beriadah, untuk membesarkan anak dan bersara, maka ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga kesejahteraan negara, termasuk khazanah air. Memaki hamun pihak-pihak berkuasa tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada keadaan sedia ada. Masanya sudah tiba untuk kita sendiri, serta ahli keluarga dan teman-teman di pejabat dan di kawasan kita tinggal, bertindak secara berhemah dalam menggunakan air. > Shah A. Dadameah adalah Pengarang Bersekutu The Star. Tulisan yang di utarakan di dalam ruangan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mat