suria

Jom Rebut Anugerah Biasiswa Gamuda

Penerima biasiswa Gamuda akan mengikuti program yang berpendekatan holistik untuk mengasah kemahiran insaniah dan teknikal yang penting bagi mereka untuk menerajui hala tujuan dan kerjaya masing-masing.

PETALING JAYA: Gamuda pada 2014 sekali lagi menawarkan Anugerah Biasiswa kepada generasi muda yang memperolehi keputusan akademik dan kurikulum cemerlang serta ingin menceburi salah satu daripada bidang seperti kejuruteraan, seni bina, ukur bahan, perancangan bandar dan wilayah, kewangan, perniagaan serta kemasyarakatan sosial di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Dalam kenyataannya, syarikat gergasi tersebut yang mewujudkan Anugerah Biasiswa Gamuda sejak 1996 kembali menawarkan biasiswa bagi merealisasikan impian generasi muda ke menara gading.

Menurutnya, kursus-kursus lain yang turut disenaraikan untuk mendapat biasiswa ialah pengurusan pembinaan, seni bina landskap, geologi dan geomatik.

“Anugerah Biasiswa Gamuda berlainan daripada biasiswa lain yang berasaskan merit pencapaian akademik dan kurikulum kerana kami juga amat mengutamakan nilai-nilai murni dan keperibadian mulia yang dimiliki seseorang individu.

“Penerima biasiswa Gamuda akan mengikuti program yang berpendekatan holistik untuk mengasah kemahiran insaniah dan teknikal yang penting bagi mereka untuk menerajui hala tujuan dan kerjaya masing-masing. Mereka akan dibentuk menjadi pemimpin masa depan yang dicontohi selaras dengan nilai-nilai Gamuda,” katanya.

gamuda
Anugerah Biasiswa Gamuda menawarkan biasiswa bagi merealisasikan impian generasi muda ke menara gading.

Tambahnya, selain menjadi program pembangunan bakat, Gamuda komited dalam memastikan penerima biasiswa diberi peluang, pengalaman dan panduan ke arah kejayaan.

“Gamuda tekad untuk mencungkil bakat penerima biasiswa supaya mereka berjaya dalam persekitaran yang didorong prestasi tinggi. Oleh itu, mereka akan didedahkan kepada bengkel latihan, kursus-kursus dan sesi bimbingan sebagai asas kukuh sebelum menjejaki alam pekerjaan kelak.

“Buat julung kalinya juga, penerima-penerima biasiswa yang terdahulu dan yang masih berkhidmat di Gamuda akan terlibat dalam proses temuduga dan pemilihan. Mereka dapat berkongsi idea dan pendapat bagi memastikan bakal penerima biasiswa mempunyai ciri-ciri yang diperlukan dan potensi yang dihasratkan,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, Gamuda sehingga kini telah menawarkan biasiswa kepada seramai 250 mahasiswa dengan nilai menjangkaui RM22 juta.

Pemohon perlu melalui proses pemilihan yang berformat bengkel dan sesi temuduga dan jika terpilih, mereka berpeluang untuk memulakan kerjaya di Gamuda yang merupakan salah sebuah syarikat infrastruktur dan pemaju hartanah yang terunggul di negara ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman web, www.gamuda.com.my/scholarship.  

Permohonan ditutup pada 30 April 2014.

Anugerah Biasiswa Gamuda, Gamuda

Artikel Lain