KUALA LUMPUR: Perdana Menter,i Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengetuai kira-kira 3,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat dalam larian tiga kilometer di sini bagi menunjukkan komitmen untuk menjadikan negara bebas rasuah. Larian yang bermula dan berakhir di Padang Merbok itu dinamakan Larian 'Hapuskan Rasuah, Jangan Beri Jangan Terima', anjuran Parti Gerakan. Najib yang diiringi Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Ketua Wanita Gerakan yang juga pengerusi penganjur larian, Datuk Tan Lian Hoe, mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menamatkan larian itu. Sebelum itu, Najib yang tiba pukul 7.45 pagi, turut menyertai senamrobik selama 10 minit bersama peserta mengikut rentak lagu tiga kaum utama di negara ini dan lagu 1Malaysia. Mah dan Tan kemudian menyerahkan obor kepada Najib sebagai simbolik pelancaran larian itu. Obor itu kemudian diserahkan kepada wakil Gerakan Johor Datuk Teo Kok Chee untuk meneruskan larian pada 24 Mei di Skudai, Johor. Najib turut melepaskan satu das tembakan sebagai permulaan larian itu. Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusuf dan pemimpin kanan parti Gerakan.