suria

Kemalangan Bas: Pemandu Negatif Dadah

KUANTAN: Pemandu bas persiaran dua tingkat yang terlibat dengan kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Ladang Sungai Jernih dekat sini petang Ahad, disahkan negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata keputusan ujian air kencing terhadap pemandu itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan semalam selepas nahas itu berlaku.

"Pemandu itu yang cedera di pinggang masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bersama-sama lima mangsa lain.

"Seorang lagi mangsa iaitu pemandu pertama bas persiaran itu dirawat di Hospital Pekan (HP) manakala 10 lagi mangsa yang cedera ringan dirawat di Hospital Muadzam Shah (HMS), Rompin semalam sudah dibenarkan pulang hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya keterangan daripada semua mangsa termasuk kedua-dua pemandu bas itu sudah direkodkan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, seorang lelaki warga Britain Harry Christopher Woolhouse, 32, maut setelah bas itu yang dalam perjalanan dari Pulau Redang, Terengganu menuju ke Singapura, terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter.

Bas itu membawa 38 penumpang termasuk dari Britain, Perancis, Cina, India dan Singapura.

Yahaya berkata siasatan awal polis mendapati permukaan jalan yang licin akibat hujan renyai mungkin menyebabkan kemalangan itu.

Kemalangan Bas Ekspres

Artikel Berikut

Artikel Lain