SEPANG: Warga India, Raja Gopal Menon mengetahui sesuatu yang tidak kena dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 sebaik ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). "Kami tahu sesuatu yang tidak kena dengan pesawat apabila ia mula bergegar," kata pelancong yang berasal dari Kochi, India. Dia yang berusia 70an itu berkata, apa yang dibimbanginya adalah sekiranya pesawat Boeing 737-800 dalam penerbangan ke Bengaluru (Bangalore) itu terpaksa berpatah balik. Pesawat itu, yang mengalami masalah pada gear pendaratan kanannya ketika berlepas, mendarat dengan selamat di KLIA pada kira-kira pukul 1.56 pagi Isnin. Raja Gopal berkata, dia tenang berada di dalam pesawat kerana juruterbang menangani keadaan itu dengan baik. "Juruterbang begitu tenang dan membantu kami melalui keadaan itu dengan baik," katanya. Terdahulu, MAS mengeluarkan kenyataan bahawa penerbangan MH192 yang berlepas dari KLIA pada pukul 10.09 malam ke Bengaluru terpaksa berpatah balik. Pesawat itu sepatutnya dijadualkan tiba di Bengaluru di India pada pukul 11.35 malam pada hari yang sama. Ia membawa seramai 166 orang termasuk 159 penumpang dan tujuh anak kapal. Seorang lagi penumpang, Gorav Puri, 31, dari Sweden berkata, dia duduk berhampiran dengan bahagian sayap pesawat dan mendengar bunyi bising apabila juruterbang cuba untuk berpatah balik. "Pesawat itu melakukan dua pusingan sebelum mendarat," katanya, sambil menambah mereka diberitahu bahawa juruterbang perlu menghabiskan minyak terlebih dahulu sebelum mendarat. "Kesemua kami tenang melalui keadaan itu. Kami hanya takut sewaktu pesawat itu berlepas dan ketika kami diberitahu bahawa kami perlu bersedia untuk mendarat," katanya. Dia bagaimanapun bersyukur kerana masih selamat dan memuji juruterbang yang mengendalikan situasi itu dengan baik.