KUALA LUMPUR: Kekerapan berlakunya kemalangan membabitkan bas dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, terutama perjalanan jauh semasa musim perayaan. Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, tiga kemalangan yang berlaku dalam masa seminggu ini akan mengikis keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama mereka. "Pengguna memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang diyakini selamat dan kerajaan serta agensi penguatkuasa perlu lebih tegas dalam melaksanakan tugas mereka kerana ia melibatkan keselamatan nyawa ramai penumpang. "Ditambah dengan musim perayaan yang semakin dekat, kami khuatir lebih banyak kemalangan bas ekspres akan berlaku akibat dari kecuaian dan tahap keselamatan yang rendah," katanya. Ahad lalu, sebuah bas persiaran yang membawa penumpang dari Pulau Redang ke Singapura terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung dan mengorbankan seorang pelancong dari Singapura. Beliau berkata, Fomca juga mencadangkan supaya Miros mengkaji atau menilai kembali kesesuaian bas ekspres dua tingkat untuk digunakan bagi perjalanan yang jauh kerana menurutnya terdapat laporan mengatakan bahawa bas tersebut direka bagi laluan bandar yang singkat. "Di negara luar, bas dua tingkat hanya digunakan bagi pengangkutan di dalam bandar dan untuk jarak yang dekat," katanya. Katanya. struktur bas tersebut yang tinggi adalah tidak stabil apabila dibawa laju serta pengadang jalan raya di negara ini yang rendah membuatkan ia mudah terbalik. Pada Sabtu lalu pula, sebuah bas ekspres yang membawa 28 penumpang terbabas di Km 118, Lebuh Raya Pantai Timur yang mengakibatkan 10 orang cedera. Sementara itu, pada 12 April lalu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut, manakala 10 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik di Bentong, Pahang.