suria

Pembaikan PBS Diterima Baik Golongan Pendidik - Idris

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) hanya dibuat selepas mendapat pandangan daripada 55,000 individu termasuk tokoh akademik dan pertubuhan bukan kerajaan, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu dilakukan bagi mengelak kesilapan berulang dalam melaksanakan pembaharuan atau penambahbaikan kepada mana-mana sistem sedia ada.

Beliau berkata selain mengelak guru terbeban akibat kelemahan sistem itu, penambahbaikan yang dibuat juga bertujuan memastikan PBS tidak berubah daripada objektif asal yang menekankan nilai rohani serta intelektual dan 'mesra guru'.

"Kita memahami bebanan yang ditanggung oleh guru ketika menggunakan PBS, justeru kementerian akan cuba perbaiki kelemahan sistem ini dari semasa ke semasa," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Muhammad Yusof Husin.

Muhammad Yusof ingin tahu sama ada PBS diterima oleh golongan guru setelah penambahbaikan dilakukan memandangkan sebelum ini golongan itu serta kesatuan guru mempertikaikan penggunaan sistem tersebut.

Idris berkata penambahbaikan sistem PBS, antaranya guru tidak perlu lagi memasukkan maklumat pencapaian murid secara dalam talian seperti sebelumnya yang menjadi kritikan utama sebelum ini, telah diterima secara baik oleh warga pendidik.

"Hasil penambahbaikan ini, semua warga pendidik dapat menerima dengan hati terbuka sebab PBS yang ditambah baik lebih bersifat mesra guru dan tidak bebankan golongan tersebut dan mereka boleh fokuskan lebih pada proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

PBS merupakan transformasi daripada sistem berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, diperkenalkan di sekolah rendah sejak 2011 dan di sekolah menengah pada 2012.

Bagaimanapun pelaksanaannya menimbulkan pelbagai rungutan dan bantahan daripada para guru yang terbeban dengan keperluan mengisi dan merekod penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat, manakala ibu bapa pula tidak pasti bagaimana prestasi dinilai terutama pelajar tingkatan tiga yang merupakan kohort pertama PBS.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan pada 23 Feb lepas memutuskan pelaksanaan PBS ditangguh bagi membolehkan kajian semula dibuat sebelum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac tampil mengumumkan PBS akan kembali dilaksana bermula 1 April selepas penambahbaikan dibuat.

Antara penambahbaikan ialah Dokumen Standard Prestasi (DSP) diganti dengan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid, bermakna guru tidak lagi perlu mengisi data penguasaan murid menerusi sistem PBS secara dalam talian seperti sebelum ini.

Penambahbaikan itu juga menyaksikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diganti dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula tahun ini.


PBS, Dewan Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain