suria

Enam Permit Bas Syarikat Etika Express Digantung Ekoran Kemalangan 19 April

PETALING JAYA: Enam permit syarikat kenderaan Etika Express yang menjalankan operasi ulang-alik di laluan Kuala Lumpur- Kuantan akan digantung mulai 25 April, selepas kemalangan yang melibatkan salah sebuah daripada bas syarikat berkenaan berhampiran Temerloh, yang mencederakan enam orang pada 19 April.

Siasatan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendedahkan bahawa Etika Express tidak melantik pegawai keselamatan dan gagal untuk memantau kelajuan bas dengan pengesan Sistem Kedudukan Global (GPS).

"Penggantungan ini berkuat kuasa dari 25 April dan melibatkan enam permit bas ekspres yang beroperasi di laluan Kuala Lumpur- Kuantan," kata jurucakap dalam satu kenyataan.

Bas tersebut, menurut SPAD telah membawa 28 penumpang pada masa itu.

Tindakan ini adalah yang kedua diambil pada minggu ini, dengan 27 permit bas Konsortium Transnasional Berhad (KTB) berulang alik di laluan Kota Baru -Kuala Lumpur digantung selepas salah sebuah basnya terbabit kemalangan, membunuh tiga orang pada 12 April.

Sementara itu, SPAD berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kemalangan pada 22 Mac yang melibatkan sebuah bas dan sebuah lori, dengan 11 orang cedera.

"Bas terbabit yang dipercayai mengalami masalah brek, telah dipandu pada kelajuan yang tinggi dan kenderaan gagal dikawal," kata jurucakap itu.

Artikel Lain