suria

Saringan MERS-CoV Di Pintu Masuk Untuk Penerbangan Dari Timur Tengah - Dr Subramaniam

Dr Subramaniam
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menjalankan pemeriksaan saringan di pintu masuk negara terhadap semua penumpang yang tiba dari Timur Tengah, terutama jemaah umrah bagi mengesan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementerian itu juga akan terus memantau rapat jangkitan wabak itu di negara ini.

Susulan itu juga tempoh pengawasan terhadap 15 jemaah umrah yang pulang bersama-sama seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia akibat MERS-CoV dilanjutkan untuk dua minggu lagi, katanya dalam sidang media, di sini Rabu.

Pada 13 April lalu, seorang lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail akibat pneumonia teruk susulan jangkitan MERS-CoV.

Mangsa yang pulang ke tanah air pada 29 Mac mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas kira-kira 10 hari kemudian serta dimasukkan ke hospital itu pada 10 April.
Kes itu merupakan yang pertama dilapor di rantau ini.

Mengulas perkara lain, Dr Subramaniam berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan caj perkhidmatan hospital swasta.

"Kementerian cuma mempunyai kuasa untuk mengawal 'fi profesional' iaitu bayaran yang dikenakan oleh doktor untuk kerja mereka. Itu yang dikawal melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

"Melalui akta itu, kita kawal bayaran maksimum yang boleh dikenakan oleh doktor untuk fi profesional, tetapi perkara-perkara yang lain seperti kadar bilik, bayaran ubat, pelbagai pemeriksaan, ia tidak dikawal oleh kementerian," katanya.

Bagaimanapun katanya kementerian itu sedar akan rungutan orang ramai dan sudah menasihatkan hospital swasta di negara ini agar mengenakan bayaran yang munasabah.

"Apa yang penting ialah memastikan kuasa pasaran memainkan peranan. Mesti ada kumpulan pengguna yang memantau isu ini dan memastikan penyedia perkhidmatan sedar akan kekuatan suara pengguna," katanya.
MERS-CoV, saringan

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan