MIRI: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut dalam kebakaran Rumah Panjang Akai di Jalan Ladang Oxford WTK Suai tengah malam Rabu. Ketua Polis Miri, ACP Gan Tian Kee berkata dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, Kendit Ali, 40, didapati melecur teruk. Beliau berkata kebakaran menyebabkan 284 orang penghuni tinggal sehelai sepinggang. Rumah panjang tersebut mempunyai 35 pintu termasuk dua pintu yang sedang dalam pembinaan. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Sulaiman Julaihi berkata punca kebakaran masih disiasat. "Pihak kita menerima panggilan pada pukul 12.15 pagi dengan perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa dua jam," katanya dan menambah dua jentera berserta 11 anggota termasuk anggota sukarela terlibat memadam kebakaran.