suria

Kanak-Kanak Hilang Ditemui Berhampiran Rumah

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang hilang dari rumahnya di Seri Kembangan tiga hari lalu ditemui selamat pada awal pagi Jumaat.

Dia ditemui berhampiran sebuah kompleks membeli belah yang terletak kira-kira lima minit perjalanan dari rumahnya.

Pengerusi Persatuan Kepolisan (CP) Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, seramai 60 ahlinya melakukan rondaan mencari Soon Jia Liang.

"Mereka maklumkan melihat Jia Liang berjalan sendirian berhampiran Jaya Jusco di Taman Equine namun dia melarikan diri selepas namanya dipanggil," katanya.

Namun akhirnya usaha mencari bersama ahli keluarga kanak-kanak itu membuahkan hasil apabila Jia Liang ditemui selamat dan keletihan.

Dia masih berpakaian kemeja-t berwarna merah seperti kali terakhir dilihat sebelum hilang.

Kuang percaya Jia Liang cuba lari dari rumah kerana menurutnya kanak-kanak itu mendakwa dia tidak melakukan yang terbaik di sekolah terutamanya bagi subjek Bahasa Malaysia.

"Saya yakin dia tidak didera. Keluarganya menyayangi dia. Apabila kami memulangkan Jia Liang, dia menangis dan berkali-kali meminta maaf kepada ibunya," kata Kuan.
Kanak-Kanak Hilang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain