suria

Polis Siap Siaga Terima Kedatangan Obama

Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam keadaan siap siaga untuk menerima kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang akan tiba di Malaysia, pada Sabtu.

Ketua Polis Negara ,Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukannya kini sudah membuat persiapan rapi terutama daripada aspek keselamatan bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar ketika menyambut kehadiran tetamu negara itu.

"Dari segi keselamatan kita telah melakukan persiapan rapi dan kini hanya menunggu presiden itu tiba di Malaysia.

"Semua anggota yang ditugaskan sepanjang tempoh lawatan itu mencukupi. Ada beberapa jalan akan ditutup ketika konvoi bagi menjaga Obama dan anggota-anggotanya," katanya selepas perasmian Simposium Pencegah Jenayah Dari Perspektif Islam di Pusat Islam Wilayah Persekutuan pada Jumaat.

Lawatan tiga hari Obama ke tanahair adalah yang pertama oleh seorang Presiden Amerika yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun. Kali terakhir negara menerima lawatan pemimpin tertinggi Amerika Syarikat adalah Lyndon B. Johnson pada 1966.

Ia sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara Asia yang turut merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Selain itu itu, Khalid turut mengulas mengenai perhimpunan Membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CPB) 1 Mei ini yang dilaporkan akan berhimpun di Dataran Merdeka.

"Dataran Merdeka tutup. Saya tak faham kalau mereka menyerbu masuk dataran kerana di situ hanya ada rumput yang baharu di tanam. Saya tidak tahu apa sebabnya.

"Selagi tidak mengganggu lalu lintas kita akan cuba bertolak ansur, tetapi jika tidak mematuhi arahan, kita akan mengambil tindakan.

"Apa sahaja yang mereka lakukan perlu mengikut undang-Undang Perhimpunan Aman," tegasnya.

Sebelum ini polis telah melabelkan perhimpunan Anti-GST itu sebagai haram. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain