KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di luar negara yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor boleh membuat permohonan mengundi melalui pos mulai Jumaat hingga 12 Mei ini. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mereka boleh memuat turun borang 1B iaitu Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) daripada laman sesawang SPR (www.spr.gov.my). Katanya, pemohon mesti memenuhi syarat seperti seorang pemilih berdaftar dan pernah berada atau kembali ke negara ini dalam tempoh lima tahun sebelum 18 April. "Bagaimanapun, mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei serta Kalimantan, Indonesia tidak layak diberi kemudahan mengundi melalui pos. "Mereka perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat. Abdul Ghani berkata, kemudahan mengundi melalui pos turut disediakan untuk pegawai pilihan raya, anggota polis atau tentera, anggota SPR dan petugas media yang layak. Katanya, permohonan bagi kategori itu boleh dibuat dengan menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang SPR mulai hari ini dan perlu dihantar sebelum atau pada 14 Mei ini. "Petugas media yang ingin mengundi melalui pos perlu mendapatkan perakuan majikan bahawa pemohon akan bertugas di luar kawasan bahagian pilihan raya pada hari mengundi serta bertugas membuat liputan pilihan raya kecil dan perkara-perkara berkaitan dengannya," katanya. Abdul Ghani berkata, garis panduan untuk mengisi borang dan maklumat berkaitan pengundian pos juga boleh dimuat turun daripada laman sesawang SPR. "Borang 1A dan 1B yang lengkap diisi boleh dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui e-mel upup.