KUALA LUMPUR: Seramai 116 individu yang terbabit dalam jenayah berat dan terancang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, sejak dikuatkuasa pada 2 April lalu. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan akta bagi memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan juga memberi tumpuan kepada kegiatan kekerasan serta samseng. "POCA dikhususkan kepada jenayah. Jika sesiapa melakukan jenayah, tidak kira ahli politik atau orang besar, mereka akan ditangkap juga. "Namun setakat tiada tahanan membabitkan ahli politik," katanya selepas merasmikan Simposium Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam di Pusat Islam Wilayah Persekutuan, Jumaat. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun. Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota panel untuk akta ini dilantik dua minggu lalu dan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sementara itu, Khalid berkata setakat ini, polis merekod 287 keterangan berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu. Berkaitan perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang dirancang 1 Mei ini, katanya, polis akan mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Langkah Khas) 2012 atau SOSMA jika pesertanya berdegil dan menimbulkan kekecohan. "Apa yang dia nak sangat buat di situ (Dataran Merdeka). Mereka tak dapat kebenaran pihak berkuasa tempatan. Kita pun dah cadangkan lokasi alternatif di Stadium Merdeka," katanya.