suria

JPJ Tahan Empat Pemandu Bas Ekspres Positif Dadah

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun menahan empat pemandu bas ekspres yang didapati positif dadah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sejak ujian air kencing terhadap pemandu bas dilaksana Selasa lepas, pihaknya memeriksa kira-kira 622 pemandu di stesen bas ekspres seluruh negara.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya menahan dua pemandu di Negeri Sembilan, seorang di Wilayah Persekutuan dan seorang lagi di Terengganu.
 
"Kesemua pemandu positif dadah dibawa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut dan buat sementara waktu ini, kita gantung lesen mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Utara hari ini.

Ismail berkata mereka akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ismail berkata JPJ turut mengarahkan anggotanya menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi melihat kesalahan pemandu sepanjang perjalanan menuju destinasi yang ditetapkan.

Beliau berkata jika pemandu melakukan kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mereka akan disaman sejurus tiba di stesen bas.

JPJ turut menempatkan anggotanya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi memeriksa sama ada pemandu pertama dan kedua mengambil giliran masing-masing selepas melakukan perjalanan 300 kilometer dari stesen bas.

Sementara itu, Ismail berkata JPJ mengeluarkan 40 saman terhadap kenderaan Thailand yang membawa pelancong asing ke destinasi tertentu melebihi jarak ditetapkan, iaitu tidak melebihi dua kilometer dari pintu sempadan.

Beliau berkata operasi yang bermula sejak Khamis lepas mengenakan saman sebanyak RM300 dan turut mengarahkan kenderaan negara jiran itu berpatah balik ke negara mereka serta menurunkan pelancong asing yang ingin ke destinasi tertentu.
 
"Kita keluarkan saman mengikut Seksyen 21(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata bermula 1 Mei depan, pendaftaran kenderaan baharu boleh dibuat secara dalam talian sekali gus memudahkan urusan pembeli kereta tanpa perlu ke kaunter JPJ.

Beliau berkata bagi fasa pertama, empat model kereta yang terbabit ialah Proton, Perodua, Honda dan Toyota.
 
"Pemilik kenderaan baharu juga boleh membeli nombor pendaftaran secara dalam talian dan mereka tidak perlu lagi ke JPJ untuk membuat pendaftaran tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata mereka perlu mendaftar terlebih dahulu di laman sesawang JPJ sebelum boleh berbuat demikian.

JPJ, pemandu bas ekspres

Artikel Berikut

Artikel Lain